OGOS 2023

Pendapatan Isi Rumah Rakyat Menunjukkan Trend Pertumbuhan Positif


SIBU: Kerajaan Sarawak melabur dalam pembangunan modal insan untuk memastikan rakyatnya dilengkapi dengan kemahiran.

Ia bertepatan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah purata kepada RM15,000 sebulan menjelang tahun 2030.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kajian Suruhanjaya Statistik Malaysia (DOSM) menunjukkan Sarawak berjaya mencapai peningkatan pendapatan bulanan isi rumah secara keseluruhan RM3.9 bilion pada 2022, berbanding RM3.7 bilion (2019).

"Kajian DOSM menunjukkan peningkatan sebanyak 5.4 peratus dari 2019 hingga 2022.

"Dalam tempoh tiga tahun, pendapatan bulanan isi rumah purata meningkat dari RM5,959 pada 2019 kepada RM6,457 (2022), mewakili peningkatan sebanyak 8.4 peratus berbanding 2019. 

"Pendapatan bulanan isi rumah median juga mengalami peningkatan signifikan, mencapai RM4,978 pada 2022, berbanding RM4,544 (2019), menandakan peningkatan yang ketara sebanyak 9.6 peratus," kata pada sidang media selepas Projek Rancangan Tebatan Banjir Sibu Stesen Pam Nombor8 (Sungai Beranggau) dan Projek Pembangunan Semula Kampung Datu, petang tadi.

Abang Johari berkata, pada 2022, pendapatan bulanan purata isi rumah di kawasan bandar Sarawak meningkat kepada RM7,744 dari RM7,243 pada 2019, menunjukkan perubahan peratusan sebanyak 6.9 peratus.

"Di kawasan luar bandar, pendapatan bulanan purata isi rumah mencapai RM4,579 pada 2022, berbanding RM4,218 ( 2019), menunjukkan perubahan peratusan sebanyak 8.6 peratus.

"Saya gembira untuk berkongsi bahawa statistik ini menunjukkan trend pertumbuhan positif dalam pendapatan bulanan isi rumah purata untuk kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar di Sarawak. 

Dengan pendapatan yang meningkat, katanya, Sarawak telah meningkatkan had Penilaian Pertengahan Rancangan Malaysia Ke-12 dari RM30.0 bilion kepada RM38.0 bilion untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur di seluruh kawasan untuk memudahkan pembangunan sosioekonomi yang inklusif.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee serta yang lain.

Sumber dari : Jiwa Bakti